Balairung Seri

NILAI ESTETIKA

MAKNA ESTETIKA
Secara umum, karya seni merupakan hasil daripada proses imaginasi dan kreatif manusia dalam menggarap keindahan bagi mengerjakan sesuatu. Ianya tidak terhad kepada hasil penulisan sahaja malah meliputi seni bina, lukisan, muzik, bahasa dan sebagainya. Hal ini sangat bertepatan dengan pendapat yang dikemukakan oleh Nor Azman Ab. Aziz (2013:1) yang menyatakan bahawa estetika adalah cabang falsafah yang mengandungi pertalian dengan sifat keindahan, seni, rasa, penciptaan dan tanggapan terhadap keindahan.
Berbalik kepada makna estetik, perkataan estetik sebenarnya berasal dari bahasa Yunani kuno iaitu aesthesis yang bererti tanggapan. Jim Supangkat dan Rizki A Zaelani (2006:6). Istilah estetik telah diberikan makna baru pada tahun 1735 oleh Alexander Baumgarten yang membawa maksud estetika penghakiman yakni menilai dan merasa serta menghayati sesuatu dengan mendalam. Nor Azman Ab. Aziz (2013:2). Dengan kata lain, estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu ilmu yang membahaskan keindahan, bagaimana sesuatu seni itu terhasil dan bagaimana seseorang dapat merasainya atau menghayatinya.
Menurut Rahman Shaari (2001:28) estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Contohnya, mungkin pembaca pertama menganggap karya itu bernilai estetika, namun pembaca kedua pula tidak menganggapnya sedemikian. Jadi, menurut Rahman Shaari (2001) bagi sesebuah karya, aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus tidak menjamin tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam karya tersebut sangat dituntut.


Konsep estetik ialah yang menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan , kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Sebenarnya terdapat banyak lagi pendapat yang membahaskan  makna estetika diantaranya ialah estetika adalah segala sesuatu dan kajian terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan seni (Kattsoff, Element of Philosophy, 1953), estetika merupakan suatu telaah yang berkaitan dengan penciptaan, apreasiasi, dan kritikan terhadap karya seni dalam konteks keterkaitan seni dengan kegiatan manusia dan peranan seni dalam perubahan dunia (Van Mater Ames, Colliers Encyclopedia, Vol. 1), ketiga, estetika adalah suatu ilmu yang mempelajari segala sesuatu yang berkaitan dengan keindahan, mempelajari semua aspek yang disebut keindahan (A. Djelantik, Estetika Suatu Pengantar, 1999). Dan yang terakhir estetika dikatakan mempersoalkan hakikat keindahan alam dan karya seni, sedangkan falsafah seni mempersoalkan hanya karya seni atau benda seni atau artifak yang disebut seni (Jakob Sumarjo, Filsafat Seni, 2000). (http://www.slideshare.net/312174/ makalah-estetika).a

No comments:

Post a Comment