Balairung Seri

ANALISIS KARYA


Sinopsis Hikayat Raja Pasai


Karya  agung “ Hikayat Raja Pasai” mengandungi tiga bahagian utama iaitu bahagian pertama, kedua dan ketiga. Pada bahagian pertama, menceritakan tentang peristiwa-peristiwa yang diawali sejak sebelum berdirinya kerajaan Samudera Pasai hingga meninggalnya Sultan Malik al-Mahmud. Bagi bahagian kedua pula, berkisarkan tentang peristiwa-peristiwa di sekitar hubungan antara Tun Beraim Bapa dengan Sultan Ahmad hingga meninggalnya Tun Beraim Bapa. Bahagian yang terakhir pula mengisahkan tentang Putri Gemerencang dari Majapahit yang jatuh cinta kepada Tun Abdul Jalil hingga runtuhnya Pasai. Hikayat ini diakhiri dengan daftar kerajaan-kerajaan yang ditaklukkan oleh Majapahit.
Bermula hikayat ini mengisahkan dua saudara iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad, yang ingin membangun sebuah negeri di Samarlangga. Ketika menebas hutan, Raja Muhammad menjumpai seorang anak perempuan dari pokok bambu yang diberi nama Putri Betung. Raja Ahmad pula mendapat seorang anak lelaki yang dibawa seeokor gajah dan diberi nama Merah Gajah. Setelah dewasa, mereka dikahwinkan dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Merah Silu dan Merah Hasum.
            Pada suatu hari, Merah Silau terlihat sehelai rambut emas dari kepala Putri Betung dan dicabutnya rambut tersebut. Disebabkan itu, Putri Betung meninggal dunia dan peristiwa tersebut menyebabkan kematian Merah Gajah serta kematian Raja Muhammad dan Raja Ahmad akibat peristiwa yang berlaku terhadap anak mereka. Tinggallah Merah Hasum dan Merah Silu yang membawa diri ke Beurana. Daripada peristiwa pennagkapan kerbau liar untuk dijinakkan, Merah Silau dihalau oleh Merah Hasum dan berangkatlah Merah Silau ke Bukit Talang. Merah Silau ditemukan oleh Megat Iskandar yng amat menyukainya. Mereka bernusyawarah dengan orang-orang besar dan bersepakat untuk menabalkan Merah Silu sebagai raja mereka.
            Dikisahkan menjelang wafat, Nabi Muhammad s.a.w, baginda mewartakan kepada sahabatnya di benua bawah angin akan munculnya sebuah negeri bernama Samudra. Syariff  Mekkah pun memeritahkan Syeikh Ismail seorang ulama agar belayar ke Samudera untuk mengislamkan raja Samudrea Pasai. Sebelum kapal Syeikh berlabuh, Merah Silau bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w yang mengajarinya mengucapkan kalimat syahadat dan tata cara solat. Setelah diislamkan, merah Silau diberi nama Sultan Malik al-Saleh. Setelah itu, rakyat beramai-ramai mengikut untuk memeluk agama Islam. Tidak lama selepas itu, Malik al-Saleh menikahi putri Sultan Perlak bernama Putri Ganggang. Setelah dewasa, Malik al-Tahir menjadi raja di Pasai, sementara Sultan Malik al-Saleh tetap menjadi raja di Samudera hingga mangkat. Sultan Maik al-Tahir dikurniai dua orang putra, Sultan Malik al-Mahmud dan Sultan Malik al-Mansur. Setelah Sultan Malik al-Tahir mangkat, Sultan Malik al-Mahmud menjadi raja di Pasai manakla Sultan Malik al-Mansur menggantikan Sultan Malik al-Saleh sebagai raja di Samudera.
Tidak lama selepas itu, Sultan al-Mansur jatuh sakit dan menghembuskan nafas terakhir akibat perbuatan Sultan al-Mahmud yang mempenjarakan adiknya akibat kejadian Sultan Mansur yang membawa pulang seorang gadis di istana Sultan Mahmud. Akibat daripada peristiwa itu, Sultan Mahmud menyesal dan insaf dengan tindakannya kerana telah membunuh menteri Sultan Mansur dengan kejam. Setelah itu, Sultan Mahmud pula mangkat dan takhta tersebut jatuh pada anaknya Sultan Ahmad.
Sultan Ahmad sangat meminati wanita dan mengahwini seberapa ramai wanita yang diinginkan dan dikurniai 30 orang anak iaitu Tun Beraim Baba, Tun Abdul Jalil, Tun Abdul Fadhil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Sultan Ahmad turut menyukai kedua puterinya iaitu Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara dan ingin mengahwini mereka lantas berita tersebut diketahui oleh Tun Beraim Baba. Tun Beraim Baba terus melarikan adik-adiknya ke Tukas. Sultan Ahmad amat marah dengan berita tersebut dan merancang membunuh Tun Beraim Baba dengan memberikan ayapan yang beracun. Maka, meninggallah Tun Beraim Baba bersama dua adik perempuannya kerana punca yang sama.
Kezaliman Sultan Ahmad berterusan dengan perancangan ingin membunuh Tun Abdul Jalil kerana puteranya dicintai oleh Putri Gemerencang anak Raja Majapahit. Setelah mendengar khabar tersebut, Putri Gemerencang berdoa supaya mati dengan cepat dan kapalnya tenggelam. Ini menyebabkan Raja Majapahit menyerang Pasai. Disebabkan panglima perangnya yang handal Tun Beraim Baba telah tiada, Pasai pun kalah. Sultan Ahmad dengan penuh penyesalan melarikan diri ke Menduga.




Tajus al-Salatin VS Bustan al-Salatin Dalam Hal Kepimpinan Wanita

Dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional terdapat dua buah karya terbesar dalam genre sastera ketatanegaraan yang membicarakan tentang kualiti diri sebagai pemimpin. Karya tersebut ialah Taj al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh dan Bustan al-Salatin yang dikarang oleh Nuruddin ar-Raniri pada tahun 1636. Kedua-dua karya ini dijadikan panduan dan cerminan kepada pemerintah dalam mentadbir negara. 

Kedua-dua karya ini juga dinyatakan tentang pemerintahan oleh raja wanita. Melalui artikel Women Rajas in Two Classical Malay Texts: the Bustan al-Salatin and the Taj al-Salatin yang ditulis oleh Mulaika Hijjas membicarakan perbandingan terhadap perbezaan pandangan pengarang Bustan al-Salatin dengan pengarang Taj al-Salatin tentang wanita yang menjadi raja dalam tampuk pemerintahan. Menurut Nuruddin ar-Raniri dalam Bustan al-Salatin wanita boleh menjadi pemimpin asalkan wanita itu berasal dari keturunan raja yang memerintah kerana asalkan wanita tersebut seorang yang kaya dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, raja wanita diukur berdasarkan aspek darah keturunan diraja. Segala aspek yang memaparkan kelemahan wanita diketepikan demi menjaga nama baik serta kesucian darah keturunnya. Pengarang menyatakan bahawa darah diraja yang mengalir dalam tubuh setiap waris perlu dikekalkan walaupun berajakan seorang wanita. Nuruddin ar-Raniri juga memuji pemerintahan Sultan Taj al-Alam iaitu raja wanita pertama yang memerintah Acheh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Hal jelas diceritakan dalam bab dua fasal tiga belas yang menceritakan kejayaan Sultan Taju’ l-Alam Safiatun-Din Shah yang mengambil tampuk pemerintahan dari suaminya dilihat penuh kehebatan dari segi adat dan kekayaan kerajaan Nurudin juga menyamai pemerintahan Sultan Taj al-Alam dengan pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Hal ini ternyata berbeza dengan realiti sejarah kerajaan Acheh apabila dilihat negara-negara seperti Pahang, Kedah dan Perlak yang asal dari jajahan takluk Acheh melepaskan diri. Hal ini jelas membuktikan bahawa pemerintahan daripada raja perempuan adalah lemah. 


Pandangan Bukhari al-Jauhari dalam karya Tajus al-Salatin tidak menolak akan kepimpinan wanita tetapi boleh dilakukan dalam keadaan tertentu untuk mengelak fitnah, darurat dan sebagainya. Selain itu dalam karya ini ada mengemukakan tentang sifat-sifat wanita dan syarat-syarat yang perlu dilakukan apabila seseorang wanita menjadi pemimpin. Dalam Tajus al-Salatin antara fasal lima hingga sembilan Bukhari al-Jauhari membicarakan tentang raja dan pemerintahan yang menyatakan tentang peranan, sifat dan ciri-ciri seorang raja. Menurut Bukhari al-Jauhari sifat-sifat wanita digambarkan sebagai insan yang kurang budi, beremosi, lemah, perlu dilindungi oleh lelaki, dan tidak boleh berperang berbanding lelaki. Fitrah kejadian wanita juga dilihat menjadi faktor kepada keterbatasan wanita untuk menjadi pemimpin. Seperti dengan kitaran haidnya setiap bulan, mengandung dan melahirkan anak berbanding dengan fitrah lelaki. Wanita juga dilihat dari segi pandangan Islam, mempunyai keterikatan terhadap batas-batas agama. Sebagai contohnya wanita tidak boleh menjadi iman dalam sembahyang berjemaah, menjadi ketua keluarga, dan batas auratnya wajib dijaga daripada bukan muhrim serta mempunyai tanggungjawab yang besar apabila sudah bersuami, mempunyai anak-anak dan berkeluarga. Menurut Bukhari al-Jauhari lagi wanita boleh menjadi pemimpin dalam bahagian-bahagia tertentu seperti pemimpin kepada kaum mereka, pemimpin dalam soal-soal yang berkaitan dengan kewanitaan dan sebagainya yang layak dan besesuian dengan hak asasi wanita. Sekiranya layak bagi seorang wanita memegang kepimpinan yang menyamai lelaki adalah seharusnya mempunyai penasihat lelaki seeloknya yang muhrin bagi melancarkan peranan dan tanggungjawabnya disamping itu dapat menjaga dan melindungi batas-batas dan fitrahnya sebagai wanita dari pandangan Islam. 


Sehubungan itu, perbandingan dua pandangan tokoh agama dalam dua buah karya besar iaitu Bustan al-Salatin dan Tajus al-Salatin dilihat mempunyai perbezaan yang ketara. Kewajaran pandangan kedua-dua karya ini dilihat berpihak kepada karya Tajus al-Salatin yang memberi gambaran jelas tentang kedudukan wanita sebagai pemimpin dengan terperinci dan mengikut landasan agama Islam. Jika terdapat kesulitan tertentu, barulah wanita boleh diambil untuk menjadi pemimpin dengan mengikuti syarat-syarat yang tertentu. Namun telah ditegaskan bahawa lebih elok seorang pemimpin itu haruslah daripada seorang lelaki. 

                                 http://afiqhizami.blogspot.com/2010/10/tajus-al-salatin-vs-bustan-al-salatin.html









2 comments:

  1. Maklumat yang diberikan sangat berguna untuk saya dan pencinta karya sastera yang lain. Terima kasih!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas kunjungan saudari..Kami juga sangat mengalu-alukan sebarang perkongsian mengenai ilmu Karya Agung ini..

    ReplyDelete