DEFINISI

MAKSUD KARYA AGUNG

Karya Agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Karya juga melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan hingga ke zaman ini. 

MAKSUD AGUNG MELAYU

Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam meggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis dan diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei atau orang Aceh , orang Bugis, orang Minangkabau dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di mana daerah asalnya di Dunia Melayu ini, mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun.

MAKSUD KARYA AGUNG DUNIA MELAYU

Karya Agung Dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahsa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa atau I La Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan



| KONSEP DAN TAKRIF |
KONSEP UMUM

Tamadun sesuatu bangsa merupakan warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikenali dan dipelajari berdasarkan karya-karya ulung para karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuwan bangsa itu sepanjang sejarahnya. Karya ulung yang dimaksudkan ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Takrif asas ini menjadi dasar untuk menghuraikan konsep dan ciri-ciri Karya Agung Melayu atau Dunia Melayu.

TAKRIF "DUNIA MELAYU"

Dari segi geografi, Dunia Melayu dikatakan meliputi kawasan teras yang adakalanya disebut Nusantara atau Gugusan Pulau-pulau Melayu. Takrif yang agak jelas (walaupun masih boleh dibahaskan) ialah berdasarkan bahasa. Bahasa Melayu menjadi lingua franca di kawasan yang disebut "Dunia Melayu" itu sejak lama dahulu. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mampu merentas sempadan geografi dan sempadan etnik yang mentakrif atau mencirikan kawasan yang disebut Dunia Melayu itu.
Bahasa Melayu menjadi alat utama yang digunakan sebagai wahana penghasilan karya persuratan yang penting dalam sejarah kawasan ini, kawasan yang terdiri daripada pelbagai bangsa atau kumpulan etnik, pelbagai agama, dan pelbagai bahasa. Istilah "Melayu" yang digunakan untuk menamakan kawasan luas yang disebut "Dunia Melayu" itu tidak merujuk kepada orang Melayu atau bangsa Melayu atau etnik Melayu atau kepada agama tetapi kepada bahasa Melayu, bahasa yang digunakan oleh penduduk pelbagai etnik dan pelbagai agama.

Kawasan induk Dunia Melayu meliputi Indonesia, Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Patani hari ini mewarisi sejarah budaya atau sejarah ketamadunan yang sama sejak kedatangan pengaruh asing dari India (lebih dua ribu tahun dahulu) hingga ke zaman pengislaman dan sampai ke zaman penjajahan Barat pada abad ke-16.

Kesan daripada sejarah budaya atau proses ketamadunan yang panjang, berwarna-warni dan pelbagai aspek ini dapat dilihat dalam corak dan watak kesusasteraan tradisional di seluruh kawasan ini. Kesusasteraan yang memperlihatkan kebijaksanaan kolektif penduduk peribumi dan pembina budayanya melakukan proses penerimaan, penyesuaian dan penolakan budaya sehingga akhirnya tercerna suatu tradisi bersama yang mencirikan 'jati diri' tamadun Dunia Melayu.



| KESUSASTERAAN MELAYU |

KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan Melayu Tradisional dicipta melalui dua tradisi iaitu :-
i) tradisi lisan 
ii) tradisi tulisan. 

Tradisi lisan menghasilkan dua bentuk sastera iaitu sastera berbentuk cerita dan sastera yang tidak berbentuk cerita yang diungkapkan dalam bentuk puisi dan peribahasa.

SASTERA LISAN

Berbentuk Cerita atau Hikayat
  • Cerita romantis atau lipur lara
  • Cerita binatang
  • Cerita jenaka
  • Cerita asal usul
  • Mitos dan lagenda
Tidak Berbentuk Cerita
  • Peribahasa
  • Pantun
  • Gurindam, seloka dan teka-teki
  • Teromba
  • Mantera, jampi, serapah

SASTERA TULISAN

Berbentuk Cerita
  • Syair
  • Sastera Epik
  • Sastera Hikayat
  • Sastera Panji dan Perwayangan
  • Kisah Para Nabi dan Tokoh Islam
  • Sastera Sejarah yang Bercorak Mitos dan Lagenda, Sejarah yang Sebenar dan Salasilah
Tidak Berbentuk Cerita

  • Sastera Undang-undang
  • Sastera Sains Tradisional
  • Satera Metaficik/ Tasawuf
  • Sastera Kitab (tentang ilmu agama, syariah dll)

No comments:

Post a Comment