KETOKOHAN PENGARANG

| TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG |


TUN SRI LANANG

Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17. Anak kepada Paduka Temenggung Ahmad. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah Melayu pada tahun 1612.

      Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab 11. Beliau sangat meminati kitab-kitab dan buku-buku pengetahuan. Karangan beliau telah membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini.



 HAMZAH FANSURI



Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang, Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel.

      Segala pendapat, ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-pengikut agama Islam. Akibatnya, Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun1637. Hamzah Fansuri juga terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia.

      Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab.

 BUKHARI AL- JAUHARI

Beliau seorang pujangga Melayu. Hidup dalam kurun ke-17. Beliau berasal dari Johor, tetapi menetap di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Pada tahun 1603, beliau mengarang ‘Taj al-Salatin’ yang dikatakan berdasarkan kepada beberapa buah kitab daripada bahasa Arab dan Parsi. Kitab ini mengandungi falsafah kemanusiaan, khusus sebagai panduan kepada raja. Namun begitu, ‘Taj al-Salatin’ sangat terkenal di Alam Melayu, dipelajari oleh bangsawan di Solo dan Jogja serta diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dan Makasar. Kitab ini sangat tinggi nilainya kerana pengaruhnya yang sangat begitu luas.

Sebagai seorang pengarang, tidak syak lagi bahawa beliau ialah penyumbang kepada genre ketatanegaraan yang membolehkan kita mengetahui peraturan-peraturan yang dipakai pada zaman dahulu untuk memerintah dan tugas serta tanggungjawab semua pihak yang mendiami sesebuah negeri.

 NURUDDIN AL-RANIRI



Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.

    Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’ (1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).

     Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.



RAJA ALI HAJI


Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Datuknya Raja Haji, seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Manakala ayahnya Raja Ahmad ialah pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Beliau pernah mengikut ayahnya menunaikan haji ke Mekah dan menuntut ilmu ke sana. Sekembalinya ke Riau, beliau bertugas sebagai penasihat dan guru kepada Raja Ali, Yamtuan Muda Johor ketika itu. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa dan menulis buku tatabahasa Melayu iaitu ‘Bustan al-Katibin’ (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Usaha beliau mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu menambah buku tatabahasa Melayu. Beliau juga mengarang sebuah kamus yang bernama ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ tetapi karyanya yang paling terkenal ialah ‘Tuhfat al-Nafis’ yang dikarangnya pada tahun 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang menjadi pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.

      Karya yang berbentuk Sastera Sejarah ini amat berbeza dengan karya yang sama denganya. Sungguhpun masih terdapat mitos dan lagenda di dalamnya, tetapi tarikh-tarikh telah diberikan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku, tidak seperti dalam ‘Sejarah Melayu’ dan ‘ Hikayat Raja-raja Pasai’.

      Karya-karya beliau yang lain ialah ‘Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair  Siti Sianah, Gurindam Dua Belas dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam’. Oleh itu, kita boleh menganggap beliau sebagai seorang pengarang yang prolifik pada zamannya. Beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan tetapi juga sejarah dan bahasa.



2 comments:

  1. Tahniah.. perisian yang menarik. Bolehkan saudara terangkan asal usul Hang Tuah menurut karya Sejarah Melayu versi Tun Seri Lanang

    ReplyDelete